Tidak kiralah sehebat mana pun anda dalam kerja anda atau sebanyak mana keuntungan yang anda berjaya hasilkan, tidak ada manusia yang sempurna. Semua orang melakukan kesilapan. Kita cuma perlu belajar daripada kesilapan kita dan teruskan melangkah.
Terdapat 6 kesilapan yang biasa dilakukan oleh online marketer:
- Tidak mengambil tindakan
Sekalipun jika anda merupakan orang baru dalam bidang pemasaran internet, anda tidak sepatutnya mempelajari setiap teknik pemasaran yang wujud di luar sana. Memiliki pengetahuan luas tentang strategi pemasaran atas talian atau online marketing tidak akan membantu anda.
Sebenarnya, anda masih akan melakukan kesilapan walaupun dengan pengetahuan yang banyak. Anda perlu melaksanakan strategi dan membuat uji kaji dengan teori yang ada, dan anda perlu menjayakan strategi dan teori tersebut.
Jadi, elakkan dari mencuba semua strategi pada masa yang sama.
Kita tidak mungkin dapat melakukan segala-galanya. Maka jangan bazirkan masa anda dengan usaha yang sia-sia.
Jangan terus berfikir “Yang itu menarik, yang ini pun menarik, yang begitu pun sama, yang begini pun boleh tahan. Mungkin nanti saya akan cuba kesemuanya bila saya dah belajar teknik-teknik itu”.
Jadilah lebih bijak daripada itu. Belajar dari Nike dan “Just Do It”.
- Berputus asa
Jika anda menjangkakan keuntungan akan muncul sekelip mata, anda silap.
Seperti yang dikatakan, anda memang akan melakukan kesilapan. Anda akan melalui proses pembelajaran, dan anda mungkin akan gagal berkali-kali sebelum anda berjaya.
Tetapi apa yang pasti ialah berputus asa merupakan kesilapan yang besar.
Ubah sistem anda, buat penambahbaikan. Analisis keputusan yang anda peroleh dan belajar dari kesilapan anda. Teruskan mencuba. Lambat-laun, anda akan mencapai satu tahap di mana laman web anda akan meningkat naik dalam populariti dan keuntungan, dan anda akan berjaya. Dan apabila anda telah berjaya, jangan risau kerana ia kebiasaannya adalah sifat semulajadi internet marketing di mana semuanya akan berkembang dengan pesat selepas ia menjadi untuk kali pertama.
Pokoknya, jangan pernah berputus asa sebelum mencapai titik perubahan itu. Dan apabila telah berjaya, jangan berubah menjadi pasif. Ulangi proses atau strategi anda yang berhasil selama ini. Analisis, ubah, ulang dan sempurnakan proses itu.
- Gagal merancang
Anda tahu tentang teorinya, tetapi ia tidak membuahkan hasil untuk anda. Entah bagaimana, anda tidak mendapatkan trafik dan laman web anda tidak menghasilkan jualan.
Mungkin anda tidak memiliki perancangan atau sistem yang teratur.
Seseorang yang bijak pernah berkata, “Gagal merancang bermaksud merancang untuk gagal”.
Pastikan anda membuat perancangan yang cukup sebelum melaksanakan strategi anda. Jangan terlalu teruja sehingga anda terlupa membuat kajian dan susun idea anda secara sistematik.
- Mengabaikan maklumbalas negatif
Terdapat banyak bisnes sama ada atas talian dan luar talian yang tidak tahu cara mengendalikan maklum balas negatif. Majoriti daripada mereka hanya memilih untuk mengabaikannya atau memadam komen negatif itu dari posting mereka. Atau lebih teruk, ada juga yang menghamburkan makian terhadap pengguna yang memberikan maklum balas itu.
Hal ini sangat bahaya.
Ramai orang memandang enteng impak yang boleh dihasilkan oleh respon mereka terhadap komen negatif. Ia mampu memudaratkan reputasi, jenama, dan jualan anda, lebih-lebih lagi sekiranya situasi itu menjadi viral.
Belajar untuk mengambil masa bagi mengenalpasti punca masalah dan menyelesaikannya.
Kawal emosi dan belajar dari pengalaman itu.
- Tidak mengemas kini laman web
Sedangkan bisnes luar talian juga perlu menukar inventori mereka pada setiap suku tahun.
Laman web anda juga perlu dikemas kini dari semasa ke semasa.
Jika anda memiliki blog, anda perlu membuat posting secara konsisten dan mencari cara untuk memastikan laman web anda sentiasa menarik dan seiring dengan perkembangan semasa.
Laman web anda perlulah sentiasa mengikut perkembangan teknologi, dan isi kandungannya perlulah dikemas kini.
- Kebergantungan yang terlalu tinggi terhadap SEO
SEO (Search Engine Optimization) memang penting, tetapi anda tidak patut memperuntukkan lebih dari 25% daripada masa, tenaga dan bajet anda.
75% yang selebihnya ialah penggunaan media sosial, menarik pengguna ke arah laman web anda, dan sebagainya.
Trafik yang banyak memang suatu keputusan yang diidamkan, tetapi hanya jika kosnya berbaloi dengan keputusannya.
Realitinya, walaupun anda berjaya meraih semua trafik dalam dunia ini, ia tidak akan menjamin kejayaan. Sekiranya laman web anda anda dikunjungi ribuan orang sekalipun, tetapi jualan yang berjaya dilakukan hanyalah satu atau dua, maka itu bukan kejayaan.
Sebaliknya, bagaimana jika anda hanya memiliki 10 pelawat di laman web anda tetapi 9 daripadanya membeli produk atau servis anda?
Lebihkan fokus pada trafik bersasar (targeted traffic).
Jangan salah faham, SEO boleh digunakan, tapi elakkan dari terlalu bergantung padanya.